Sunday, 10 February 2019

Sarawak Tewaskan Pulau Pinang 2-0

(Foto Utusan Borneo)

Selepas kecundang di tangan Terengganu FC II pada perlawanan pertama Liga Premier 2019 2 minggu lalu, Pulau Pinang mencatatkan kekalahan kedua kepada Sarawak dengan keputusan 2-0.

Perlawanan yang dilangsungkan pada waktu 4.15 petang itu menyaksikan kedua-dua pasukan bermain untuk mencari kemenangan selepas tewas pada perlawanan pertama dengan Sarawak dilihat lebih mendominasi perlawanan dengan beberapa percubaan pada awal babak pertama. Pulau Pinang yang turun dengan sedikit rombakan di barisan pertahanan dengan membariskan Hazrul Hafiz sebagai penjaga gol menggantikan Syamin Othman manakala pemain lincah, Afif Azman pula diturunkan menggantikan Norfais Johari yang mengalami kecederaan.

Tidak banyak serangan berbahaya dari kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama menyaksikan kedudukan kekal tanpa jaringan. Jurulatih Hj. Ahmad Yusoff masih mempertaruhkan Ndumba Makeche dan Julian Bottaro di barisan hadapan untuk merobek gawang gol pasukan Sarawak. Bermula babak kedua, apa yang dicita tidak kesampaian malah Sarawak pula yang lebih banyak mengasak pertahanan Pulau Pinang.

Hasil satu sepakan sudut dari sebelah kiri pintu gol Pulau Pinang menyaksikan penyerang prolifik pasukan Sarawak, Bobby Gonzalez berjaya menanduk masuk gol pertama menewaskan Hazrul Hafiz. Menyaksikan barisan hadapan yang agak lesu, Hj. Ahmad Yusoff melakukan pertukaran dengan memasukkan Afiq Azmi menggantikan Ndumba Makeche. Perlawanan menjadi lebih rancak dengan Pulau Pinang menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Hasil satu serangan balas, Bobby Gonzalez yang melihat pertahanan terakhir Stuart Wark yang agak terkehadapan berjaya melarikan bola memintas Stuart Wark sebelum melepaskan satu sepakan melepasi Hazrul Hafiz untuk gol kemenangan pasukan Sarawak. Tamat perlawanan, Sarawak 2 Pulau Pinang 0.


- KaripapBawang07

No comments:

Post a Comment