Monday, 27 May 2019

Hajat Pulau Pinang Lakar Kemenangan Ketiga Tersekat Di Tangan Sabah

(Foto: FA Penang)

Pulau Pinang yang turun dengan rekod 2 kemenangan berturut-turut gagal meneruskan momentum selepas hanya mampu seri tanpa jaringan ketika menerima kunjungan Sabah pada aksi ke-14 di Stadium Bandaraya, Sabtu lalu.

Membawa semangat kemenangan ke atas pasukan JDT II minggu lalu, pasukan bimbingan Manzoor Azwira sememangnya terus bernafsu untuk memburu kemenangan ketiga berturut-turut. Bermain di hadapan 4500 penyokong yang menaruh harapan tinggi selepas melihat angin perubahan yang dibawa sememangnya satu tekanan buat pasukan.

Pulau Pinang memperoleh peluang pertama untuk menjaringkan gol pertama menerusi Anselmo Casagrande apabila pemain itu berjaya menyudahkan hantaran Kang Seung-jo hasil satu sepakan percuma. Casagrande melakukan satu sepakan gunting lalu menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim. Namun penjaga garisan terlebih dahulu dapat mengesan kekasaran yang dilakukan oleh Casagrande. 

Perlawanan yang dicemari dengan layangan kad kuning dilihat mengganggu tumpuan Pulau Pinang untuk beraksi dengan lebih baik. Aksi kasar yang ditunjukkan oleh pemain lawan seakan memberi bayangan perlawanan ini bukanlah satu tugas yang mudah.

Peluang pasukan Pulau Pinang untuk memecah kebuntuan gol sekali lagi dihampakan apabila kali ini, Rozaimie Rohim berjaya menepis keluar sepakan percuma dari Julian Bottaro pada separuh masa kedua. Begitu juga tandukan dari Bottaro dan Casagrande yang masih gagal menemui sasaran. 

Peluang terbaik Pulau Pinang hadir pada minit akhir perlawanan apabila sepakan percuma yang diambil Kang Seung-jo berjaya menemui Casagrande yang menanduk bola kepada Wan Mohd Syukri yang sempat melakukan percubaan ke arah pintu gol Sabah. Rozaimie Rohim yang seakan sudah tertewas setelah bola yang cuba ditepisnya terlepas. Namun bola tersebut pula dihampakan oleh tiang gol dan sempat diselamatkan betul-betul di hadapan garisan gol pasukan Sabah oleh Evan Wensley sebelum pengadil perlawanan meniup wisel penamat untuk keputusan Pulau Pinang dan Sabah berkongsi 1 mata.

Pulau Pinang kini memintas PDRM di tangga ke-6 liga untuk seketika dengan kelebihan 1 mata sambil PDRM masih mempunyai 1 perlawanan berbanding Pulau Pinang. Skuad Harimau Kumbang akan berkunjung ke Selayang untuk bertemu Selangor United pada 15 Jun dan Uitm pada 19 Jun sebelum kembali ke Bandaraya pada 26 Jun untuk bertemu Negeri Sembilan.

- KaripapBawang07

No comments:

Post a Comment