Sunday, 3 February 2019

Pulau Pinang Gigit Jari Di Halaman Sendiri

                                          (Foto FA Penang)

STADIUM BANDARAYA kembali meriah dengan kehadiran kira-kira 4,460 orang penyokong setelah 2 tahun melalui proses naik taraf. Kali terakhir Pulau Pinang beraksi di sini adalah ketika menewaskan Terengganu FC dalam perlawanan terakhir Liga Super 2016 sebelum Stadium Negeri, Batu Kawan dijadikan gelanggang rasmi untuk musim 2017 dan 2018.

Tidak seperti yang diharapkan oleh penyokong yang menggelarkan Stadium Bandaraya sebagai Stadium Keramat apabila Pulau Pinang tunduk 2-3 kepada pasukan Terengganu FC II dengan aksi yang kurang menyakinkan. Untuk rekod, pasukan Terengganu FC II adalah pasukan simpanan kepada pasukan Terengganu FC yang beraksi di dalam saingan Liga Super.

Perlawanan bermula dengan tempo yang agak perlahan dengan kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar hantaran untuk 20 minit yang pertama yang menyaksikan sekali sekala penjaga gol Syamin Othman diuji dengan hantaran jauh oleh pasukan pelawat. Hasil satu sepakan sudut pada minit ke-23 yang diambil dari sudut sebelah kiri pintu gol Pulau Pinang, Ramzi Sufian yang tidak dicabar langsung hanya menyambung sahaja tandukan awal dari Serhii Adrieivev untuk meletakkan TFC II di hadapan.

Tersentak dengan gol pendahuluan pasukan pelawat, Pulau Pinang meningkatkan mutu serangan dari sebelah sayap kanan melalui Norfais yang sekali-sekala bertukar posisi dengan Dhiyaulrahman di sebelah sayap kiri. Hasil satu gerakan di bahagian tengah, Sebastien Thuerre yang berjaya mencuri bola melakukan larian sebelum mencuba dari luar kotak penalti. Bola yang sedikit terbias apabila terkena kaki seorang pemain TFC II terus menerjah jaring apabila gagal ditangkap oleh penjaga gol mereka, Shamirza Yusof menjadikan kedudukan 1-1 sebelum tamat separuh masa pertama.

Bermula aksi di babak kedua, hasil kesilapan Julian Bottaro yang gagal mengawal bola dengan kemas menyaksikan bola berjaya dirampas dari kakinya oleh pemain tengah TFC II dan hasil umpanan cantik dari sebelah kanan, Bruno Suzuki yang menerima bola berjaya menjaringkan gol kedua walaupun cuba diasak oleh Qayyum.

Melihat kepada persembahan Norfais Johari yang kurang menyerlah akibat kesakitan di bahagian kakinya, Ahmad Yusoff memasukkan pemain muda Afif Azman untuk menggantikannya. Dengan kemasukan pemain ini, bahagian serangan pasukan Pulau Pinang semakin bernafsu untuk mencari gol penyamaan. Beberapa gerakan lincah dari pemain ini seringkali mengundang resah barisan pertahanan pasukan TFC II. Tindakan Ahmad Yusoff menukarkan posisi Afif dan Dhiyaulrahman sekali lagi menjadi apabila hasil dari satu hantaran rendah dari sebelah kanan pintu gol TFC II, Pulau Pinang berjaya menyamakan kedudukan apabila Julian Bottaro tidak mensia-siakan peluang untuk menampan masuk untuk kedudukan 2-2 pada minit ke-70.

TFC II sekali lagi menghukum pasukan Pulau Pinang apabila pada minit ke-79, hasil kesilapan Stuart Wark telah menghadiahkan sepakan sudut kepada pasukan TFC II. Sepakan yang diambil terus ke hadapan pintu gol Pulau Pinang berjaya disudahkan dengan rembatan oleh Serhii Adrieivev sekaligus menghadiahkan gol kemenangan pasukan TFC II dengan keputusan muktamad, Pulau Pinang tewas 2-3.

Pulau Pinang akan berkunjung ke Kuching pada 9 Februari ini untuk bertemu pasukan Sarawak yang juga tewas pada perlawanan pertama mereka kepada Negeri Sembilan. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Premier musim lalu, Pulau Pinang tewas 0-1.

- KaripapBawang07

No comments:

Post a Comment