Sunday 24 February 2019

Pulau Pinang Curi 1 Mata di Paroi

(Foto: Malaysia Football League)

Pulau Pinang sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dalam perlawanan ke-empat saingan Liga Premier menentang pasukan Negeri Sembilan.

Skuad Haji Ahmad Yusuff yang sekali lagi turun tanpa kelibat pemain import Ndumba Makeche mempertaruhkan penjaring gol ketika menewaskan PDRM minggu lalu, Afiq Azmi sambil dibantu oleh Julian Bottaro di barisan serangan.

Perlawanan yang banyak berlegar di kawasan tengah dengan kedua-dua pasukan lebih gemar bermain dengan hantaran-hantaran jauh. Tidak banyak serangan berbahaya pada separuh masa pertama namun pasukan tuan rumah yang mendapat sepakan percuma pada minit ke-37 tidak mempersiakan peluang terhidang apabila pemain import mereka Shunsuke Watanake merembat masuk ke gawang Pulau Pinang untuk gol pertama perlawanan. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua perlawanan, Hj. Ahmad Yusuff memasukkan Azrul Ahmad  dan Afif Azman menggantikan Afiq Azmi dan Faizzudin Abidin untuk lebih menguasai bahagian tengah sambil menggerakkan Julian Bottaro untuk lebih ke hadapan bagi mencari gol penyamaan. Percaturan beliau membuahkan hasil apabila bermula dengan satu sepakan percuma yang diambil oleh Kang Seung-jo dari tengah padang. Lambungan cantik beliau menemui Afif Azman di posisi kiri yang bertindak bijak memperdaya pertahanan pasukan Negeri Sembilan sebelum melakukan hantaran rendah ke depan pintu gol Negeri Sembilan. Julian Bottaro yang berada betul-betul di hadapan pintu gol yang sudah ternganga luas hanya menampan masuk untuk gol penyamaan.

Pasukan Pulau Pinang juga hampir menambah gol apabila satu sepakan percuma yang diambil oleh Kang Seung-jo hampir sahaja menewaskan penjaga gol  Negeri Sembilan namun palang pula menjadi penghalang.

Asakan demi asakan pada akhir-akhir perlawanan menyaksikan satu lagi peluang hadir. Kali ini pemain gantian, Rahizi Rasib yang berjaya mencuri bola hampir sahaja mahu melakukan percubaan 1 lawan 1 namun hasratnya terbantut apabila beliau dijatuhkan dari belakang oleh Aroon Kumar, pemain pertahanan pasukan Pulau Pinang betul-betul di atas garisan kotak penalti. Pengadil yang melihat situasi itu tidak teragak-agak untuk melayangkan kad merah kepada Aroon Kumar dan memberikan sepakan percuma kepada pasukan Pulau Pinang. Namun sepakan Kang Seung-jo pula sedikit tersasar dan kedudukan kekal 1-1 hingga wisel penamat dibunyikan.

Pulau Pinang kini mengumpul 4 mata dan berkongsi kedudukan di tangga ke-8 di belakang Kelantan yang tidak bermain pada malam ini. Mereka akan menanti kunjungan UiTM FC untuk perlawanan seterusnya di Stadium Bandaraya pada 1 Mac ini. 

- KaripapBawang07

No comments:

Post a Comment