Wednesday, 25 September 2019

Berilah Ruang Untuk Manzoor...


(Foto: Facebook)

Sepertimana musim² yang lalu, Admin masih kekal nak lihat dulu progres yang akan coach lakukan dalam pemilihan pemain. Rasanya tidak adil jika kita berikan tekanan untuk coach buat kerja. Ya, Admin faham kita ada pengalaman yang buruk ketika pemilihan pemain pada awal musim lalu yang mana ketika itu seperti semua sedia maklum dilakukan oleh coach Hj. Ahmad Yusoff. Namun Manzoor Azwira yang menggantikan Hj. Ahmad Yusoff pada pertengahan musim sudah boleh dianggap berjaya merombak pemain hingga mampu membawa pasukan Pulau Pinang yang pada ketika itu berada di tangga terbawah liga untuk keluar dan seterusnya bangkit mencabar kedudukan teratas dan hampir sahaja lolos (pinjam kata² Jacksen) ke Liga Super sebelum kes 2017 meragut segalanya.

Jadi, Admin melihat Manzoor ada sesuatu yang boleh dibanggakan hingga FAP bertindak untuk mengekalkan beliau dan memberi ruang untuk beliau sendiri yang memilih pemain sebagai persiapan pasukan musim 2020. Seperti kita sedia maklum, Liga Premier 2019 sudah melabuhkan tirai dan kempen Piala Malaysia juga sudah selesai diharungi oleh pasukan Pulau Pinang. Kontrak pemain pula bakal berakhir pada November 2019 dan beberapa pemain pinjaman seperti Wan Syukri dan Casagrande akan kembali ke pasukan asal mereka, Melaka United serta M.Yoges juga akan kembali ke PJ City.

Dengan masalah kewangan yang sudah berjaya diselesaikan oleh pihak FAP melalui bantuan Kerajaan Negeri, pastinya ia menjadi kelebihan untuk Manzoor memancing pemain² dari luar yang mencari pasukan yang tidak ada isu tunggakan gaji. Ya la, pemain mana yang mahu beraksi dengan pasukan yang tidak membayar gaji walaupun bermain dalam Liga Super (tak kata kat mana² team pun ye)....kan?

Bagi pemain sedia ada, mereka juga memikirkan masa depan mereka adakah mereka masih diperlukan pada musim hadapan? Bagi Admin, sudah tentu Manzoor sudah ada nama² yang beliau mahu kerana berdasarkan kepada pemain yang kerap diturunkan dalam kesebelasan utama musim ini, Admin percaya ada di antaranya adalah pemain pilihannya. Namun andai kata ada di antara pemain² ini mendapat tawaran dari luar, lebih² lagi dari pasukan besar dari Liga Super seperti JDT, Pahang, Kedah, Selangor, Perak dll...tanya diri sendiri jika anda sebagai pemain, mampukah anda nak menolaknya? Sedangkan Kedah juga tidak mampu untuk pertahankan Akhyar untuk kekal dan Selangor juga satu ketika dahulu terlepas Azrif ke JDT.

Justeru, berilah Manzoor ruang untuk beliau bentuk pasukan yang diidamkan bagi memberi cabaran yang lebih sengit untuk musim depan.  Mengenai peruntukan musim depan, rasanya YB. Dr.Amar Pritpal sebagai Presiden FAP sudah mendapat gambaran jelas mengenai jumlah keseluruhan perbelanjaan FAP sepanjang musim 2019 ini untuk dijadikan Belanjawan 2020 yang akan dipohon kepada Kerajaan Negeri melalui YB. Soon Lip Chee selaku Exco Sukan Kerajaan Negeri. Deraf Belanjawan 2020 sudah dibentangkan di dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan sebelum dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri awal November nanti.

Sebagai peminat, teruslah memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan Pulau Pinang. Berilah mereka peluang setelah mereka berjaya melakukan beberapa perubahan pada musim ini. Yang baik patut untuk kita katakan baik, begitu juga yang buruk patut kita tegur.

#PenangBPK

No comments:

Post a Comment