Sunday, 27 February 2022

Penang-BPK Kembali Lagi 2022

(Hilal El-Helwe antara permata baru pasukan Penang FC)

Setelah bertahun Admin kehilangan akaun ini akibat terlupa username dan password, hari ni setelah dicuba-cuba akhirnya berjaya menemui semula blog Penang-BPK ini.

InshaAllah, Admin akan kembali dengan artikel-artikel terbaru untuk musim 2022 ini. Sesuai dengan barisan pemain pun banyak muka baru. Kita doakan moga mereka berjaya mengekalkan momentum kejayaan menduduki tangga ke-3 pada musim lalu.

Menjelang pertemuan menentang JDT Jumaat ini, pastinya kita tidak sabar untuk melihat sejauh mana anak buah Thomas Trucha mampu untuk berhadapan dengan Juara Liga Super ini yang pastinya lebih berbisa berbanding musim-musim sebelum ini tambahan pula mereka baru sahaja memenangi Piala Sumbangsih dengan kemenangan bergaya menewaskan Kuala Lumpur City FC dengan keputusan 3-0.

Walaupun Penang FC bakal turun tanpa kehadiran 2 ayam tambatan, Casagrande dan Endrick dos Santos, diharapkan pemain-pemain lain mampu untuk membuktikan kehadiran mereka juga mampu untuk menyekat hajat JDT di laman sendiri. Pemain tumpuan pada perlawanan ini, Admin pilih Hilal El-Helwe dan Khatul Anuar jika beliau diturunkan dalam kesebelasan utama. 

Semoga kita beroleh keputusan yang positif dalam perlawanan pertama musim ini. Haria Penang Haria!


Wednesday, 25 September 2019

Berilah Ruang Untuk Manzoor...


(Foto: Facebook)

Sepertimana musim² yang lalu, Admin masih kekal nak lihat dulu progres yang akan coach lakukan dalam pemilihan pemain. Rasanya tidak adil jika kita berikan tekanan untuk coach buat kerja. Ya, Admin faham kita ada pengalaman yang buruk ketika pemilihan pemain pada awal musim lalu yang mana ketika itu seperti semua sedia maklum dilakukan oleh coach Hj. Ahmad Yusoff. Namun Manzoor Azwira yang menggantikan Hj. Ahmad Yusoff pada pertengahan musim sudah boleh dianggap berjaya merombak pemain hingga mampu membawa pasukan Pulau Pinang yang pada ketika itu berada di tangga terbawah liga untuk keluar dan seterusnya bangkit mencabar kedudukan teratas dan hampir sahaja lolos (pinjam kata² Jacksen) ke Liga Super sebelum kes 2017 meragut segalanya.

Jadi, Admin melihat Manzoor ada sesuatu yang boleh dibanggakan hingga FAP bertindak untuk mengekalkan beliau dan memberi ruang untuk beliau sendiri yang memilih pemain sebagai persiapan pasukan musim 2020. Seperti kita sedia maklum, Liga Premier 2019 sudah melabuhkan tirai dan kempen Piala Malaysia juga sudah selesai diharungi oleh pasukan Pulau Pinang. Kontrak pemain pula bakal berakhir pada November 2019 dan beberapa pemain pinjaman seperti Wan Syukri dan Casagrande akan kembali ke pasukan asal mereka, Melaka United serta M.Yoges juga akan kembali ke PJ City.

Dengan masalah kewangan yang sudah berjaya diselesaikan oleh pihak FAP melalui bantuan Kerajaan Negeri, pastinya ia menjadi kelebihan untuk Manzoor memancing pemain² dari luar yang mencari pasukan yang tidak ada isu tunggakan gaji. Ya la, pemain mana yang mahu beraksi dengan pasukan yang tidak membayar gaji walaupun bermain dalam Liga Super (tak kata kat mana² team pun ye)....kan?

Bagi pemain sedia ada, mereka juga memikirkan masa depan mereka adakah mereka masih diperlukan pada musim hadapan? Bagi Admin, sudah tentu Manzoor sudah ada nama² yang beliau mahu kerana berdasarkan kepada pemain yang kerap diturunkan dalam kesebelasan utama musim ini, Admin percaya ada di antaranya adalah pemain pilihannya. Namun andai kata ada di antara pemain² ini mendapat tawaran dari luar, lebih² lagi dari pasukan besar dari Liga Super seperti JDT, Pahang, Kedah, Selangor, Perak dll...tanya diri sendiri jika anda sebagai pemain, mampukah anda nak menolaknya? Sedangkan Kedah juga tidak mampu untuk pertahankan Akhyar untuk kekal dan Selangor juga satu ketika dahulu terlepas Azrif ke JDT.

Justeru, berilah Manzoor ruang untuk beliau bentuk pasukan yang diidamkan bagi memberi cabaran yang lebih sengit untuk musim depan.  Mengenai peruntukan musim depan, rasanya YB. Dr.Amar Pritpal sebagai Presiden FAP sudah mendapat gambaran jelas mengenai jumlah keseluruhan perbelanjaan FAP sepanjang musim 2019 ini untuk dijadikan Belanjawan 2020 yang akan dipohon kepada Kerajaan Negeri melalui YB. Soon Lip Chee selaku Exco Sukan Kerajaan Negeri. Deraf Belanjawan 2020 sudah dibentangkan di dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pertimbangan sebelum dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri awal November nanti.

Sebagai peminat, teruslah memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan Pulau Pinang. Berilah mereka peluang setelah mereka berjaya melakukan beberapa perubahan pada musim ini. Yang baik patut untuk kita katakan baik, begitu juga yang buruk patut kita tegur.

#PenangBPK

Monday, 27 May 2019

Hajat Pulau Pinang Lakar Kemenangan Ketiga Tersekat Di Tangan Sabah

(Foto: FA Penang)

Pulau Pinang yang turun dengan rekod 2 kemenangan berturut-turut gagal meneruskan momentum selepas hanya mampu seri tanpa jaringan ketika menerima kunjungan Sabah pada aksi ke-14 di Stadium Bandaraya, Sabtu lalu.

Membawa semangat kemenangan ke atas pasukan JDT II minggu lalu, pasukan bimbingan Manzoor Azwira sememangnya terus bernafsu untuk memburu kemenangan ketiga berturut-turut. Bermain di hadapan 4500 penyokong yang menaruh harapan tinggi selepas melihat angin perubahan yang dibawa sememangnya satu tekanan buat pasukan.

Pulau Pinang memperoleh peluang pertama untuk menjaringkan gol pertama menerusi Anselmo Casagrande apabila pemain itu berjaya menyudahkan hantaran Kang Seung-jo hasil satu sepakan percuma. Casagrande melakukan satu sepakan gunting lalu menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim. Namun penjaga garisan terlebih dahulu dapat mengesan kekasaran yang dilakukan oleh Casagrande. 

Perlawanan yang dicemari dengan layangan kad kuning dilihat mengganggu tumpuan Pulau Pinang untuk beraksi dengan lebih baik. Aksi kasar yang ditunjukkan oleh pemain lawan seakan memberi bayangan perlawanan ini bukanlah satu tugas yang mudah.

Peluang pasukan Pulau Pinang untuk memecah kebuntuan gol sekali lagi dihampakan apabila kali ini, Rozaimie Rohim berjaya menepis keluar sepakan percuma dari Julian Bottaro pada separuh masa kedua. Begitu juga tandukan dari Bottaro dan Casagrande yang masih gagal menemui sasaran. 

Peluang terbaik Pulau Pinang hadir pada minit akhir perlawanan apabila sepakan percuma yang diambil Kang Seung-jo berjaya menemui Casagrande yang menanduk bola kepada Wan Mohd Syukri yang sempat melakukan percubaan ke arah pintu gol Sabah. Rozaimie Rohim yang seakan sudah tertewas setelah bola yang cuba ditepisnya terlepas. Namun bola tersebut pula dihampakan oleh tiang gol dan sempat diselamatkan betul-betul di hadapan garisan gol pasukan Sabah oleh Evan Wensley sebelum pengadil perlawanan meniup wisel penamat untuk keputusan Pulau Pinang dan Sabah berkongsi 1 mata.

Pulau Pinang kini memintas PDRM di tangga ke-6 liga untuk seketika dengan kelebihan 1 mata sambil PDRM masih mempunyai 1 perlawanan berbanding Pulau Pinang. Skuad Harimau Kumbang akan berkunjung ke Selayang untuk bertemu Selangor United pada 15 Jun dan Uitm pada 19 Jun sebelum kembali ke Bandaraya pada 26 Jun untuk bertemu Negeri Sembilan.

- KaripapBawang07

Saturday, 11 May 2019

Sergio Aguero Permata Baharu Harimau Kumbang


(Foto: FA Penang)

Ledakan 2 gol dari import baharu Pulau Pinang, Sergio Aguero dalam perlawanan yang dimenangi oleh pasukan Pulau Pinang ke atas Kelantan dengan keputusan 4-1 sememangnya memberi nafas baharu buat penyokong yang tak jemu-jemu memberikan sokongan.

Bermain di hadapan lebih 1000 penyokong yang hadir nyata membangkitkan semangat pemain tuan rumah untuk bangkit semula dalam pusingan kedua ini. Gol pertama Pulau Pinang hadir pada seawal minit ke-4 hasil rembatan kencang dari Aguero yang sempat ditepis oleh penjaga gol Kelantan. Namun bola yang muntah semula tidak dipersia-siakan oleh Julian Bottaro untuk merembat masuk ke gawang gol.

Pulau Pinang meneruskan asakan dan hasilnya mereka mendapat satu sepakan percuma apabila Aguero dijatuhkan pemain lawan. Kang Seung-jo yang mengambil sepakan tersebut berjaya menewaskan penjaga gol Kelantan menjadikan kedudukan 2-0.

Masuk separuh masa kedua, Pulau Pinang terus menggandakan asakan demi asakan melalui rangkaian barisan serangan Afif Azman, Julian Bottaro, Aguero serta Makeche. Hasil satu gerakan solo yang menarik yang diperagakan oleh Sergio Aguero berjaya melepasi kepungan 3 pemain Kelantan sebelum beliau melakukan percubaan bijak dengan melambungkan bola melepasi jangkauan penjaga gol Kelantan menjadikan kedudukan lebih selesa 3-0.

Sergio Aguero terus menceriakan Stadium Bandaraya apabila hantaran dari Julian Bottaro berjaya disudahkan dengan tampanan mudah menjadikan kedudukan 4-0.

Pasukan Kelantan berjaya menjaringkan gol saguhati hasil kelalaian pasukan Pulau Pinang yang lambat untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya menyebabkan pemain mereka berjaya merembat masuk untuk kedudukan tamat dengan keputusan 4-1.

- KaripapBawang07

Saturday, 9 March 2019

Harimau Kumbang Bangkit Ceriakan Penyokong

(Foto: Hatim Hizami)

Stadium Bandaraya hari ini bergema dengan sorakan padu penyokong apabila wisel penamat dibunyikan menyambut kemenangan kedua musim ini. Bagaikan harimau kumbang yang sembuh dari luka lama, skuad Pulau Pinang bangkit semula selepas mempamirkan persembahan bertenaga untuk menewaskan pasukan di tangga ke-3 liga, Selangor United 2-1.

Pasukan Pulau Pinang turun tanpa khidmat Ketua Jurulatih, Ahmad Yusuff yang direhatkan oleh pengurusan tertinggi FAP selepas beliau dilihat gagal memuaskan hati banyak pihak selepas melalui 5 perlawanan dan hanya mampu mengumpul 4 mata sahaja. Pembantu jurulatih, Kamal Kalid yang dibantu oleh Mat Saipul Mohamad nyata tidak mengecewakan hampir 2014 orang penyokong yang turun memberikan sokongan.

Aksi pada separuh masa pertama nyata tidak memihak kepada tuan rumah apabila gawang Pulau Pinang berjaya dibolosi pada minit ke-33 hasil satu sepakan penjuru yang diperolehi pasukan Selangor United. Pasukan pelawat hampir menambah gol namun sepakan padu pemain mereka hanya mampu menggegar tiang sebelah kanan pintu gol Pulau Pinang. Kedudukan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki awal babak kedua perlawanan, Pulau Pinang dikejutkan dengan keputusan pengadil perlawanan yang menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan Selangor United. Bagaimanapun sepakan yang diambil berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Pulau Pinang, Hazrul Hafiz. Tersentak dengan situasi tersebut, pasukan Pulau Pinang mengubah corak permainan dengan bermain secara lebih agresif terutama di bahagian tengah. Gol pertama pasukan Pulau Pinang terhasil melalui jaringan oleh pemain nombor 8, Dhiyaulrahman pada minit ke-55.

Bagaikan mendapat suntikan semangat, pasukan Pulau Pinang terus menggandakan asakan demi asakan. Hasil satu serangan, pasukan Pulau Pinang dihadiahkan sepakan percuma betul-betul di atas garisan kotak penalti pasukan Selangor United. Aziz Ismail yang ditugaskan untuk mengambil sepakan tidak mengecewakan penonton apabila sepakan kaki kirinya tertampan oleh pemain Selangor United sendiri menerjah jaring untuk gol kemenangan menjadikan kedudukan 2-1.

Untuk rekod, ini adalah kemenangan kedua di Bandaraya selepas Pulau Pinang menewaskan PDRM pada perlawanan ke-3 saingan Liga Premier. 

#KaripapBawang07



Friday, 1 March 2019

UiTM FC 'Sekolahkan' Pulau Pinang


Setelah melalui 2 perlawanan tanpa tewas sebelum ini, Pulau Pinang sekali lagi melalui episod kekalahan apabila tunduk pula kepada pasukan UiTM FC dengan keputusan 1-2.

Turun dengan kesebelasan pemain yang menyaksikan beberapa rombakan dibuat agak mengejutkan kira-kira 3025 orang penyokong apabila Stuart Wark diletakkan di posisi penyerang bersama Julian Bottaro. Pemain yang baharu saja menyertai Pulau Pinang minggu lalu, Aziz Ismail diturunkan buat kali pertama sebagai bek kiri manakala Dhiyaulrahman masih dikekalkan di posisi sayap kiri walaupun aksi beliau sebelum ini dikritik ramai pihak.

Permainan kedua-dua pasukan agak seimbang pada mulanya namun benteng pasukan Pulau Pinang dihukum pada minit ke-39 apabila pemain import UiTM FC, Robert Mandy berjaya menanduk masuk untuk gol pertama pasukan UiTM FC. Tersentak dengan jaringan itu, pasukan Pulau Pinang mula mengatur serangan demi serangan. Hasil satu sepakan percuma di sebelah kanan pintu gol UiTM FC yang diambil oleh Kang Seung-jo menyaksikan bola tersebut dapat ditanduk oleh Zarco Korac namun tandukan ke belakang beliau membawa padah apabila bola tersebut terus menuju ke dalam gol pasukan UiTM FC untuk gol penyamaan Pulau Pinang.

Beberapa pertukaran dibuat pada separuh masa kedua dengan Ahmad Yusoff bertindak mengeluarkan Julian Bottaro dan memasukkan Afiq Azmi. Melihat kepada beberapa peluang yang mungkin boleh dimanfaatkan oleh Afiq, Ahmad Yusoff sekali lagi melakukan pertukaran dengan memasukkan Afif Azman dengan mengeluarkan Dhiyaulrahman yang masih lagi gagal menyerlah dalam perlawanan ini. Azrul Ahmad yang bertindak sebagai pemain tengah juga dikeluarkan dan digantikan dengan A. Segar. Dengan kemasukan pemain-pemain ini pasukan Pulau Pinang dilihat seakan-akan sekadar mahu berpuas hati dengan satu mata. Namun hajat mereka sekali lagi dikecewakan pada minit-minit akhir perlawanan.

Dengan satu hantaran rendah dari sebelah kiri pasukan Pulau Pinang, Zarco Korac bijak melakukan tampanan tepat kepada Robert Mendy yang berada di tengah. Beliau yang tidak dikawal dengan mudah melakukan penyudah untuk meletakkan UiTM FC di hadapan pada minit ke-85. Kedudukan kekal dengan Pulau Pinang tewas 1-2. 

Pulau Pinang sekali lagi akan bermain di halaman sendiri pada 9 Mac 2019 bertemu Selangor United. 

-KaripapBawang07

Sunday, 24 February 2019

Pulau Pinang Curi 1 Mata di Paroi

(Foto: Malaysia Football League)

Pulau Pinang sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dalam perlawanan ke-empat saingan Liga Premier menentang pasukan Negeri Sembilan.

Skuad Haji Ahmad Yusuff yang sekali lagi turun tanpa kelibat pemain import Ndumba Makeche mempertaruhkan penjaring gol ketika menewaskan PDRM minggu lalu, Afiq Azmi sambil dibantu oleh Julian Bottaro di barisan serangan.

Perlawanan yang banyak berlegar di kawasan tengah dengan kedua-dua pasukan lebih gemar bermain dengan hantaran-hantaran jauh. Tidak banyak serangan berbahaya pada separuh masa pertama namun pasukan tuan rumah yang mendapat sepakan percuma pada minit ke-37 tidak mempersiakan peluang terhidang apabila pemain import mereka Shunsuke Watanake merembat masuk ke gawang Pulau Pinang untuk gol pertama perlawanan. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua perlawanan, Hj. Ahmad Yusuff memasukkan Azrul Ahmad  dan Afif Azman menggantikan Afiq Azmi dan Faizzudin Abidin untuk lebih menguasai bahagian tengah sambil menggerakkan Julian Bottaro untuk lebih ke hadapan bagi mencari gol penyamaan. Percaturan beliau membuahkan hasil apabila bermula dengan satu sepakan percuma yang diambil oleh Kang Seung-jo dari tengah padang. Lambungan cantik beliau menemui Afif Azman di posisi kiri yang bertindak bijak memperdaya pertahanan pasukan Negeri Sembilan sebelum melakukan hantaran rendah ke depan pintu gol Negeri Sembilan. Julian Bottaro yang berada betul-betul di hadapan pintu gol yang sudah ternganga luas hanya menampan masuk untuk gol penyamaan.

Pasukan Pulau Pinang juga hampir menambah gol apabila satu sepakan percuma yang diambil oleh Kang Seung-jo hampir sahaja menewaskan penjaga gol  Negeri Sembilan namun palang pula menjadi penghalang.

Asakan demi asakan pada akhir-akhir perlawanan menyaksikan satu lagi peluang hadir. Kali ini pemain gantian, Rahizi Rasib yang berjaya mencuri bola hampir sahaja mahu melakukan percubaan 1 lawan 1 namun hasratnya terbantut apabila beliau dijatuhkan dari belakang oleh Aroon Kumar, pemain pertahanan pasukan Pulau Pinang betul-betul di atas garisan kotak penalti. Pengadil yang melihat situasi itu tidak teragak-agak untuk melayangkan kad merah kepada Aroon Kumar dan memberikan sepakan percuma kepada pasukan Pulau Pinang. Namun sepakan Kang Seung-jo pula sedikit tersasar dan kedudukan kekal 1-1 hingga wisel penamat dibunyikan.

Pulau Pinang kini mengumpul 4 mata dan berkongsi kedudukan di tangga ke-8 di belakang Kelantan yang tidak bermain pada malam ini. Mereka akan menanti kunjungan UiTM FC untuk perlawanan seterusnya di Stadium Bandaraya pada 1 Mac ini. 

- KaripapBawang07