Saturday, 9 March 2019

Harimau Kumbang Bangkit Ceriakan Penyokong

(Foto: Hatim Hizami)

Stadium Bandaraya hari ini bergema dengan sorakan padu penyokong apabila wisel penamat dibunyikan menyambut kemenangan kedua musim ini. Bagaikan harimau kumbang yang sembuh dari luka lama, skuad Pulau Pinang bangkit semula selepas mempamirkan persembahan bertenaga untuk menewaskan pasukan di tangga ke-3 liga, Selangor United 2-1.

Pasukan Pulau Pinang turun tanpa khidmat Ketua Jurulatih, Ahmad Yusuff yang direhatkan oleh pengurusan tertinggi FAP selepas beliau dilihat gagal memuaskan hati banyak pihak selepas melalui 5 perlawanan dan hanya mampu mengumpul 4 mata sahaja. Pembantu jurulatih, Kamal Kalid yang dibantu oleh Mat Saipul Mohamad nyata tidak mengecewakan hampir 2014 orang penyokong yang turun memberikan sokongan.

Aksi pada separuh masa pertama nyata tidak memihak kepada tuan rumah apabila gawang Pulau Pinang berjaya dibolosi pada minit ke-33 hasil satu sepakan penjuru yang diperolehi pasukan Selangor United. Pasukan pelawat hampir menambah gol namun sepakan padu pemain mereka hanya mampu menggegar tiang sebelah kanan pintu gol Pulau Pinang. Kedudukan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki awal babak kedua perlawanan, Pulau Pinang dikejutkan dengan keputusan pengadil perlawanan yang menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan Selangor United. Bagaimanapun sepakan yang diambil berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Pulau Pinang, Hazrul Hafiz. Tersentak dengan situasi tersebut, pasukan Pulau Pinang mengubah corak permainan dengan bermain secara lebih agresif terutama di bahagian tengah. Gol pertama pasukan Pulau Pinang terhasil melalui jaringan oleh pemain nombor 8, Dhiyaulrahman pada minit ke-55.

Bagaikan mendapat suntikan semangat, pasukan Pulau Pinang terus menggandakan asakan demi asakan. Hasil satu serangan, pasukan Pulau Pinang dihadiahkan sepakan percuma betul-betul di atas garisan kotak penalti pasukan Selangor United. Aziz Ismail yang ditugaskan untuk mengambil sepakan tidak mengecewakan penonton apabila sepakan kaki kirinya tertampan oleh pemain Selangor United sendiri menerjah jaring untuk gol kemenangan menjadikan kedudukan 2-1.

Untuk rekod, ini adalah kemenangan kedua di Bandaraya selepas Pulau Pinang menewaskan PDRM pada perlawanan ke-3 saingan Liga Premier. 

#KaripapBawang07



Friday, 1 March 2019

UiTM FC 'Sekolahkan' Pulau Pinang


Setelah melalui 2 perlawanan tanpa tewas sebelum ini, Pulau Pinang sekali lagi melalui episod kekalahan apabila tunduk pula kepada pasukan UiTM FC dengan keputusan 1-2.

Turun dengan kesebelasan pemain yang menyaksikan beberapa rombakan dibuat agak mengejutkan kira-kira 3025 orang penyokong apabila Stuart Wark diletakkan di posisi penyerang bersama Julian Bottaro. Pemain yang baharu saja menyertai Pulau Pinang minggu lalu, Aziz Ismail diturunkan buat kali pertama sebagai bek kiri manakala Dhiyaulrahman masih dikekalkan di posisi sayap kiri walaupun aksi beliau sebelum ini dikritik ramai pihak.

Permainan kedua-dua pasukan agak seimbang pada mulanya namun benteng pasukan Pulau Pinang dihukum pada minit ke-39 apabila pemain import UiTM FC, Robert Mandy berjaya menanduk masuk untuk gol pertama pasukan UiTM FC. Tersentak dengan jaringan itu, pasukan Pulau Pinang mula mengatur serangan demi serangan. Hasil satu sepakan percuma di sebelah kanan pintu gol UiTM FC yang diambil oleh Kang Seung-jo menyaksikan bola tersebut dapat ditanduk oleh Zarco Korac namun tandukan ke belakang beliau membawa padah apabila bola tersebut terus menuju ke dalam gol pasukan UiTM FC untuk gol penyamaan Pulau Pinang.

Beberapa pertukaran dibuat pada separuh masa kedua dengan Ahmad Yusoff bertindak mengeluarkan Julian Bottaro dan memasukkan Afiq Azmi. Melihat kepada beberapa peluang yang mungkin boleh dimanfaatkan oleh Afiq, Ahmad Yusoff sekali lagi melakukan pertukaran dengan memasukkan Afif Azman dengan mengeluarkan Dhiyaulrahman yang masih lagi gagal menyerlah dalam perlawanan ini. Azrul Ahmad yang bertindak sebagai pemain tengah juga dikeluarkan dan digantikan dengan A. Segar. Dengan kemasukan pemain-pemain ini pasukan Pulau Pinang dilihat seakan-akan sekadar mahu berpuas hati dengan satu mata. Namun hajat mereka sekali lagi dikecewakan pada minit-minit akhir perlawanan.

Dengan satu hantaran rendah dari sebelah kiri pasukan Pulau Pinang, Zarco Korac bijak melakukan tampanan tepat kepada Robert Mendy yang berada di tengah. Beliau yang tidak dikawal dengan mudah melakukan penyudah untuk meletakkan UiTM FC di hadapan pada minit ke-85. Kedudukan kekal dengan Pulau Pinang tewas 1-2. 

Pulau Pinang sekali lagi akan bermain di halaman sendiri pada 9 Mac 2019 bertemu Selangor United. 

-KaripapBawang07