Sunday, 24 February 2019

Pulau Pinang Curi 1 Mata di Paroi

(Foto: Malaysia Football League)

Pulau Pinang sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dalam perlawanan ke-empat saingan Liga Premier menentang pasukan Negeri Sembilan.

Skuad Haji Ahmad Yusuff yang sekali lagi turun tanpa kelibat pemain import Ndumba Makeche mempertaruhkan penjaring gol ketika menewaskan PDRM minggu lalu, Afiq Azmi sambil dibantu oleh Julian Bottaro di barisan serangan.

Perlawanan yang banyak berlegar di kawasan tengah dengan kedua-dua pasukan lebih gemar bermain dengan hantaran-hantaran jauh. Tidak banyak serangan berbahaya pada separuh masa pertama namun pasukan tuan rumah yang mendapat sepakan percuma pada minit ke-37 tidak mempersiakan peluang terhidang apabila pemain import mereka Shunsuke Watanake merembat masuk ke gawang Pulau Pinang untuk gol pertama perlawanan. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua perlawanan, Hj. Ahmad Yusuff memasukkan Azrul Ahmad  dan Afif Azman menggantikan Afiq Azmi dan Faizzudin Abidin untuk lebih menguasai bahagian tengah sambil menggerakkan Julian Bottaro untuk lebih ke hadapan bagi mencari gol penyamaan. Percaturan beliau membuahkan hasil apabila bermula dengan satu sepakan percuma yang diambil oleh Kang Seung-jo dari tengah padang. Lambungan cantik beliau menemui Afif Azman di posisi kiri yang bertindak bijak memperdaya pertahanan pasukan Negeri Sembilan sebelum melakukan hantaran rendah ke depan pintu gol Negeri Sembilan. Julian Bottaro yang berada betul-betul di hadapan pintu gol yang sudah ternganga luas hanya menampan masuk untuk gol penyamaan.

Pasukan Pulau Pinang juga hampir menambah gol apabila satu sepakan percuma yang diambil oleh Kang Seung-jo hampir sahaja menewaskan penjaga gol  Negeri Sembilan namun palang pula menjadi penghalang.

Asakan demi asakan pada akhir-akhir perlawanan menyaksikan satu lagi peluang hadir. Kali ini pemain gantian, Rahizi Rasib yang berjaya mencuri bola hampir sahaja mahu melakukan percubaan 1 lawan 1 namun hasratnya terbantut apabila beliau dijatuhkan dari belakang oleh Aroon Kumar, pemain pertahanan pasukan Pulau Pinang betul-betul di atas garisan kotak penalti. Pengadil yang melihat situasi itu tidak teragak-agak untuk melayangkan kad merah kepada Aroon Kumar dan memberikan sepakan percuma kepada pasukan Pulau Pinang. Namun sepakan Kang Seung-jo pula sedikit tersasar dan kedudukan kekal 1-1 hingga wisel penamat dibunyikan.

Pulau Pinang kini mengumpul 4 mata dan berkongsi kedudukan di tangga ke-8 di belakang Kelantan yang tidak bermain pada malam ini. Mereka akan menanti kunjungan UiTM FC untuk perlawanan seterusnya di Stadium Bandaraya pada 1 Mac ini. 

- KaripapBawang07

Tuesday, 19 February 2019

Pulau Pinang Lengkapkan Senarai 30 Pemain

Jendela perpindahan pemain Liga Malaysia akan ditutup tepat pada tengah malam ini (20 Februari 2019). Setelah melalui 3 perlawanan liga, Pulau Pinang mencatatkan 1 kemenangan dan 2 kekalahan. Melihat kepada situasi yang tidak berapa digemari oleh sebahagian besar penyokong pasukan Pulau Pinang menyebabkan pihak pengurusan FAP tidak teragak-agak untuk mendapatkan beberapa lagi pemain bagi memperkuatkan pasukan.

Antara yang sempat disambar adalah pemain muda lincah dari Selangor, Faizzudin Abidin yang dipinjam selama 1 musim. Selain itu, FAP juga bertindak menyambar 2 pemain Perlis yang bertindak meninggalkan pasukan berikutan kemelut yang melanda persatuan berkenaan. Che Safwan Hazman dan Aziz Ismail merupakan 2 tonggak baharu yang baru sahaja menyertai pasukan Perlis musim ini.

Namun, jodoh mereka lebih kuat untuk meneruskan khidmat bersama pasukan Pulau Pinang untuk ini. Berikut adalah senarai lengkap pemain yang akan beraksi untuk pasukan Pulau Pinang musim 2019...

Goalkeeper
1.   Syamim Othman
22. Faizal Yusoff
25. Hazrull Hafiz Zulkifly

Defender
2.   Che Safwan Hazman
4.   Qayyum Jabrullah Khan
5.   Khairul Akmal Rokisham
6.   Stuart Wark
15. Muhamad Aziz Ismail
17. Tunku Hidayat Tunku Ishak
21. Hasrul Che Halim
26. Segar Arumugam
27. Asyraf Rojani
28. Khairul Rosmadi

Midfield
3. Daryl Lim Yong Sheng
7. Kang Seung-jo
8. Dhiyaulrahman Hasry
11. Azrul Ahmad
12. Al Hafiz Harun
13. Afif Azman
14. Faizzudin Abidin (loan dari Selangor)
16. Sebastian Thuriere
19. Sivanesan Shanmugam
23. Muhamad Ikhmal Ibrahim
24. Som Keat Preseart
30. Norfais Johari

Forward
9. Ndumba Makeche
10. Julian Bottaro
18. Rahizi Rasib
20. Ramze Othman
29. Afiq Azmi

Saturday, 16 February 2019

Pulau Pinang Raih Kemenangan Pertama

(Foto FA Penang)

Satu pujian buat penjaga gol Hazrul Hafiz yg berjaya memperagakan aksi yg menyakinkan sebagai seorang penjaga gol. Harap beliau terus konsisten. Pulau Pinang nyata menggunakan ketinggian Afiq Azmi sebagai target man dengan melakukan banyak hantaran-hantaran tinggi mencari beliau. Dengan meletakkan Kang Seung-jo di barisan pertahanan, Pulau Pinang dilihat lebih selamat apabila menerima hantaran2 dari pasukan PDRM. 

Perlawanan bermula dengan perlahan dengan pasukan Pulau Pinang berjaya mengawal permainan dengan baik. Turun dengan sedikit rombakan di semua posisi, percaturan Hj. Ahmad Yusuff yang merehatkan Ndumba Makeche dan Stuart Wark nyata berbaloi. Kang Seung-jo yang mengambil tanggungjawab sebagai last-man di barisan pertahanan nyata memainkan peranan penting untuk menutup ruang buat pemain pasukan PDRM untuk mencipta peluang. 

Azrul Ahmad diturunkan buat kali pertama musim ini bergandingan dengan Sebastien Thuerre di bahagian tengah juga banyak membantu mematahkan serangan pasukan PDRM sambil sesekali bijak melakukan hantaran--hantaran jauh mencari Afiq Azmi dan kedua-dua pemain sayap. 

Gol tunggal perlawanan ini hadir melalui satu sepakan penjuru yang pada mulanya berjaya dikeluarkan oleh barisan pertahanan PDRM namun, Julian Bottaro yang berada di sebelah kanan pintu gol PDRM sekali lagi melakukan hantaran ke tengah. Afiq Azmi yang berada betul-betul di hadapan pintu gol PDRM tidak mensia-siakan peluang terhidang apabila berjaya menanduk masuk ke penjuru kanan gol pasukan PDRM.

Satu permulaan yang baik buat pasukan Pulau Pinang untuk terus memperbaiki kedudukan dalam liga. Hj. Ahmad Yusuff juga masih perlu memperbaiki dan lebih kreatif untuk menggunakan pemain-pemain yg sedia ada. Perlawanan malam ini mungkin dilihat mudah kerana PDRM yang baharu sahaja mendapatkan khidmat pemain import Patrick Ronaldinho masih tidak dapat menurunkan beliau.  Ternyata kesempatan ini idak dipersiakan oleh Pulau Pinang.

Semoga Pulau Pinang berjaya meneruskan rentak kemenangan untuk perlawanan-perlawanan akan datang. Haria Penang Haria!

- KaripapBawang07

Sunday, 10 February 2019

Sarawak Tewaskan Pulau Pinang 2-0

(Foto Utusan Borneo)

Selepas kecundang di tangan Terengganu FC II pada perlawanan pertama Liga Premier 2019 2 minggu lalu, Pulau Pinang mencatatkan kekalahan kedua kepada Sarawak dengan keputusan 2-0.

Perlawanan yang dilangsungkan pada waktu 4.15 petang itu menyaksikan kedua-dua pasukan bermain untuk mencari kemenangan selepas tewas pada perlawanan pertama dengan Sarawak dilihat lebih mendominasi perlawanan dengan beberapa percubaan pada awal babak pertama. Pulau Pinang yang turun dengan sedikit rombakan di barisan pertahanan dengan membariskan Hazrul Hafiz sebagai penjaga gol menggantikan Syamin Othman manakala pemain lincah, Afif Azman pula diturunkan menggantikan Norfais Johari yang mengalami kecederaan.

Tidak banyak serangan berbahaya dari kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama menyaksikan kedudukan kekal tanpa jaringan. Jurulatih Hj. Ahmad Yusoff masih mempertaruhkan Ndumba Makeche dan Julian Bottaro di barisan hadapan untuk merobek gawang gol pasukan Sarawak. Bermula babak kedua, apa yang dicita tidak kesampaian malah Sarawak pula yang lebih banyak mengasak pertahanan Pulau Pinang.

Hasil satu sepakan sudut dari sebelah kiri pintu gol Pulau Pinang menyaksikan penyerang prolifik pasukan Sarawak, Bobby Gonzalez berjaya menanduk masuk gol pertama menewaskan Hazrul Hafiz. Menyaksikan barisan hadapan yang agak lesu, Hj. Ahmad Yusoff melakukan pertukaran dengan memasukkan Afiq Azmi menggantikan Ndumba Makeche. Perlawanan menjadi lebih rancak dengan Pulau Pinang menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Hasil satu serangan balas, Bobby Gonzalez yang melihat pertahanan terakhir Stuart Wark yang agak terkehadapan berjaya melarikan bola memintas Stuart Wark sebelum melepaskan satu sepakan melepasi Hazrul Hafiz untuk gol kemenangan pasukan Sarawak. Tamat perlawanan, Sarawak 2 Pulau Pinang 0.


- KaripapBawang07

Sunday, 3 February 2019

Pulau Pinang Gigit Jari Di Halaman Sendiri

                                          (Foto FA Penang)

STADIUM BANDARAYA kembali meriah dengan kehadiran kira-kira 4,460 orang penyokong setelah 2 tahun melalui proses naik taraf. Kali terakhir Pulau Pinang beraksi di sini adalah ketika menewaskan Terengganu FC dalam perlawanan terakhir Liga Super 2016 sebelum Stadium Negeri, Batu Kawan dijadikan gelanggang rasmi untuk musim 2017 dan 2018.

Tidak seperti yang diharapkan oleh penyokong yang menggelarkan Stadium Bandaraya sebagai Stadium Keramat apabila Pulau Pinang tunduk 2-3 kepada pasukan Terengganu FC II dengan aksi yang kurang menyakinkan. Untuk rekod, pasukan Terengganu FC II adalah pasukan simpanan kepada pasukan Terengganu FC yang beraksi di dalam saingan Liga Super.

Perlawanan bermula dengan tempo yang agak perlahan dengan kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar hantaran untuk 20 minit yang pertama yang menyaksikan sekali sekala penjaga gol Syamin Othman diuji dengan hantaran jauh oleh pasukan pelawat. Hasil satu sepakan sudut pada minit ke-23 yang diambil dari sudut sebelah kiri pintu gol Pulau Pinang, Ramzi Sufian yang tidak dicabar langsung hanya menyambung sahaja tandukan awal dari Serhii Adrieivev untuk meletakkan TFC II di hadapan.

Tersentak dengan gol pendahuluan pasukan pelawat, Pulau Pinang meningkatkan mutu serangan dari sebelah sayap kanan melalui Norfais yang sekali-sekala bertukar posisi dengan Dhiyaulrahman di sebelah sayap kiri. Hasil satu gerakan di bahagian tengah, Sebastien Thuerre yang berjaya mencuri bola melakukan larian sebelum mencuba dari luar kotak penalti. Bola yang sedikit terbias apabila terkena kaki seorang pemain TFC II terus menerjah jaring apabila gagal ditangkap oleh penjaga gol mereka, Shamirza Yusof menjadikan kedudukan 1-1 sebelum tamat separuh masa pertama.

Bermula aksi di babak kedua, hasil kesilapan Julian Bottaro yang gagal mengawal bola dengan kemas menyaksikan bola berjaya dirampas dari kakinya oleh pemain tengah TFC II dan hasil umpanan cantik dari sebelah kanan, Bruno Suzuki yang menerima bola berjaya menjaringkan gol kedua walaupun cuba diasak oleh Qayyum.

Melihat kepada persembahan Norfais Johari yang kurang menyerlah akibat kesakitan di bahagian kakinya, Ahmad Yusoff memasukkan pemain muda Afif Azman untuk menggantikannya. Dengan kemasukan pemain ini, bahagian serangan pasukan Pulau Pinang semakin bernafsu untuk mencari gol penyamaan. Beberapa gerakan lincah dari pemain ini seringkali mengundang resah barisan pertahanan pasukan TFC II. Tindakan Ahmad Yusoff menukarkan posisi Afif dan Dhiyaulrahman sekali lagi menjadi apabila hasil dari satu hantaran rendah dari sebelah kanan pintu gol TFC II, Pulau Pinang berjaya menyamakan kedudukan apabila Julian Bottaro tidak mensia-siakan peluang untuk menampan masuk untuk kedudukan 2-2 pada minit ke-70.

TFC II sekali lagi menghukum pasukan Pulau Pinang apabila pada minit ke-79, hasil kesilapan Stuart Wark telah menghadiahkan sepakan sudut kepada pasukan TFC II. Sepakan yang diambil terus ke hadapan pintu gol Pulau Pinang berjaya disudahkan dengan rembatan oleh Serhii Adrieivev sekaligus menghadiahkan gol kemenangan pasukan TFC II dengan keputusan muktamad, Pulau Pinang tewas 2-3.

Pulau Pinang akan berkunjung ke Kuching pada 9 Februari ini untuk bertemu pasukan Sarawak yang juga tewas pada perlawanan pertama mereka kepada Negeri Sembilan. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Premier musim lalu, Pulau Pinang tewas 0-1.

- KaripapBawang07